Minggu, 29 Desember 2013
Kerajaan tidak abai sektor pertanian

Muhyiddin singgah ke gerai peniaga yang menjual aneka rendang dan ketupat ketika melawat Pasar Tani Pekan Sungai Limau Dalam selepas melancarkan Pasar Tani pekarangan MADA Sungai Limau semalam.
YAN - Kerajaan tidak pernah mengabaikan pertanian sebaliknya terus memperkasakan sektor itu bagi menjamin pengeluaran pelbagai produk makanan negara yang berterusan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun bergerak ke arah negara maju, kerajaan masih memberi perhatian kepada sektor pertanian dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada petani.
Beliau berkata langkah itu perlu agar sektor berkenaan terus maju dan berdaya saing dengan sektor lain bagi melengkapi satu sama lain sejajar dengan matlamat kerajaan negara maju pada tahun 2020.
“Kalau kita abaikan sektor pertanian, kita silap besar kerana kita perlu sumber makanan setiap hari.
“Dahulu kita cuma ada tujuh juta penduduk tetapi kini meningkat kepada 28 juta. Jadi permintaan untuk bahan makanan terus meningkat,” katanya ketika berucap merasmikan Pasar Tani Pekan Sungai Limau Dalam di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.
Menurutnya, ada sesetengah negara walaupun sudah maju tetapi masih mengekalkan sektor pertanian dengan teknologi dan peralatan yang lebih moden.
“Sebagai contoh, Jepun masih ada sawah padi untuk membolehkannya menghasilkan beras untuk penduduknya,” katanya.
Muhyiddin berkata, semua usaha yang dilakukan kerajaan selama ini adalah berlandaskan Islam yang menggalakkan umatnya menceburi perniagaan kerana ia menjadi punca utama sumber rezeki.
Related Posts : abai,
kerajaan,
pertanian,
sektor,
tidak
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar